Wednesday, April 24, 2013

Selepas hujan,pelangi adalah hadiah yang sangat menenangkan.

Berlalu lagi sebuah bab kehidupan yang ditempuh dengan airmata yang gugur lebat.
Inilah kehidupan.
Yang diatur Tuhan dengan jalur yang berbeza untuk setiap insan.Tak perlu nak dipertikai kenapa aku susah,dia senang,kerana takdir kita berbeza.

Salamun 'ala man 'ittaba'al huda.

Allah tahu,saya perlu melalui fasa yang pedih dalam hidup saya,kerana ia akan menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri saya.Juga teguran atas silap saya,tersalah langkah,cuba untuk mengatur hidup sendiri dan terlupa akan hadirnya Tuhan.Allah juga mahu selamatkan saya,kuatkan saya dan memberi sinar mentari yang lebih cantik kerana adanya pelangi selepas hujan.


Dan Allah juga tahu,saya tak kuat berlama-menahan remuk perasaan,lalu Dia kirimkan teduhan.=)

Oh.Oh.Oh.Oh.Terlalu bermadah nampaknya.


Saya menyelongkar novel-novel lama yang menjadi koleksi saya.Terjumpa novel yang saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa di PWTC suatu masa dulu.Buku ni mencatatkan paling sedikit dipinjam oleh kawan-kawan.Mungkin kerana jalan ceritanya yang pelik dan olahan bahasa yang sangat puitis.

Tunggu Teduh Dulu,Faisal Tehrani,Al-Ameen Publication.


Ceritanya sangat bersahaja.Tentang hidup seorang gadis kampung yang biasa,punya masalah yang bertimpa-timpa.Ibunya telah pergi menghadap Ilahi sejak dia kecil lagi,bapanya pula berkahwin lain,ditanggalkan dengan ibu saudara,membesar tanpa perhatian ibu bapa,punya cinta monyet kala usia muda.Saya sangat suka akan cara bagaimana dihuraikan cerita Salsabila Fahim ini,dengan menggunakan kata ganti diri yang pertama,seolahnya cerita itu diriwayatkan oleh watak utama itu sendiri.


Ceritanya bermula,dengan pengenalan kepada watak utama.Salsabila Fahim,seorang wanita cekal,berumur lingkungan 27 tahun,yatim piatu,yang masih hidup cuma ibu tirinya dan adik tirinya,Shahruzzaman Fahim.Sewaktu remaja Salsabila punya teman karib yang menjadi tulang belakang dan penguat semangatnya dikala ribut taufan melanda hidup.Kamil dan Lam Ping Hai,berjanji akan menanti,dan bersedia untuk menawar cinta buat Salsabila.perjalanan hidup menyaksikan mereka terpisah dek tuntutan kehidupan.Usai Mendapatkan ijazah dalam perniagaan dari universiti di Amerika Syarikat,Salsabila mengorak langkah untuk menubuhkan perniagaan betik di tanah pusaka milik arwah ayahnya.Bersama teman seangkatan Teh Sofia,ladang betik telah dibuka untuk memenuhi permintaan betik yang besar di pasaran tempatan,juga pasaran antarabangsa.

Mereka menyatakan bahawa mereka menafsirkan pemahanan mereka tentang ketauhidan kepada Tuhan melalui perniagaan.Bagaimana mereka yakin bahawa Tuhan telah mentakdirkan kehidupan mereka untuk membuka ladang betik,berbakti kepada tanah,jujur dalam perniagaan,bersabar dengan kerenah manusia dan tumbuhan,mengimani bahawa setiap yang berlaku adalah jalur takdir dari Tuhan.

Bukan sesuatu yang biasa kita dengar,memperkukuh iman dengan sebegini rupa.


Suatu bab dalam hidup Salsabila bila dia hampir diperkosa di dalam kabin di ladangnya.Malam yang gelap,hujan yang basah menyimbah bumi,menyebabkan trauma yang berpanjangan.Bila disiasat dalang kejadian,terjumpa dompet milik pekerjanya yang menjadi kepercayaan.Sazli dipecat tanpa diberi peluang untuk mempertahankan diri.Sazli juga pernah jujur menyatakan kasihnya pada Salsabila namun ditolak mentah kerana Sazli jauh lebih muda.

Ditakdir Tuhan,Salsabila bertemu semula Sazli di Tanah Haram semasa menemani mak tirinya menunaikan umrah.Sazli yang dulunya dikerah-kerah di ladang,rupanya seorang yang pintar.Mengunjungi Baitullah untuk mengisi masa cuti pengajiannya di Jerman.Dan sudah ditakdir Tuhan,mak tirinya menghembuskan nafas terakhir di Masjidil Haram,dan tidak berapa lama kemudian,menikah dengan Sazli.Betapa Tuhan menggantikan kehilangan yang bermakna dengan kehadiran suami yang teguh disisi.

"Ingat pesan abang,Islam itu lima perkara,iman itu enam dan Ihsan itu merasa Allah sentiasa hadir bersama.Itu aja pesan abang".Pesan seorang suami,sebelum berpisah,dipisah jarak dan waktu.

Novel ni tak seperti novel islami yang lain.Nilai keimanan yang diterap tak seperti yang dibaca dalam ayat-ayat cinta,mahupun mana-mana novel islami tempatan.Saya sendiri tak tahu bagaimana nak menerangkan.Hanya jauhari mengenal manikam.Bacalah,pasti anda akan faham apa yang cuba saya sampaikan.


Imani Tuhan,kerana jalur takdir yang telah ditetapkan,adalah dalam genggaman Tuhan.Novel ini Memujuk hati saya,bahawa seharusnya cinta disalur dengan jalan yang mulia,bukan lagi janji kosong yang cantik awalnya,tapi tak kemana.


Dan saya mengimpikan suami seperti Sazli.=)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...