Monday, February 9, 2015

Menjadi manusia.

Manusia itu sifatnya waras,bertolak ansur,berkasih sayang dan bersatu.Manusia yang dicipta Tuhan sebagai makhluk yang paling sempurna,untuk memakmurkan bumi Allah ini.Mari renung diri kita,

CUKUP MANUSIAKAH KITA?

Salamun 'ala man ittaba' alhuda.



'Kehaiwanan' kita. 
Banyak sebenarnya nilai-nilai dalam diri kita ini terlalu kebinatangan.Maaf kerana kasar bahasa saya.Tetapi itu adalah perkataan yang paling tepat untuk saya,dan kita semua.Hakikatnya sifat tamak,sombong,ganas,perengus,pemarah dan banyak lagi sifat-sifat kebinatangan itu seolah sebati dan menjadi sebahagian diri kita.Oleh kerana terlalu banyak kebinatangannya,manusianya kita itu telah tertutup,terlindung,overshadowed by the animality of us.Perkara ini telah menyebabkan kita hilang kewarasan,hilang sabar,hilang akal seolahnya.Kehaiwanan kita telah banyak menyakitkan banyak pihak,menyusahkan ramai orang.

Kita banyak menyimpan marah.Marah dan api dalam diri kita seolahnya terlalu banyak,terlalu mudah untuk di 'trigger'.Sangat mudah.Pandu kereta,kereta depan lambat,kita terus marah,membunyikan hon dan terus menjerit marah.Bila hilang waras,terus memaki.Padahal pemandu kereta depan itu sedang menunggu orang tua melintas.Kita marah.Dan adakalanya marah itu kita panjang-panjangkan dengan kawan-kawan,dari pagi sampai ke malam sedangkan situasi itu hanyalah situasi yang sangat kecil.Mana pergi sifat manusia yang memaafkan?Binatang sifatnya tamak dan kedekut,tak suka berkongsi,apa juga yang menjadi miliknya takkan dikongsi dengan yang lain.Tapi kita,yang mengaku manusia,sebenarnya dah memiliki sifat-sifat haiwan itu.Bukan sekadar tamak malahan kedekut.Saya tak merujuk ketamakan dari sudut material sahaja,tetapi dari semua sisi hidup.Kita tamak menjadi popular,tamak menjadi perhatian ramai.Kita kedekut untuk berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan.Kita kedekut untuk berkongsi nasihat.Kita mengambil sikap tidak peduli.


Above all,the animality that we possess is being arrogant.SOMBONG.
Kita sangat sombong.Sombong untuk mengakui kesilapan diri kita.Kita terlalu sombong untuk menerima tunjuk ajar dan bantuan.Kita terlalu sombong untuk meminta maaf atas kesalahan yang telah kita lakukan,malah kita menuding jari kearah orang lain dek kerana kesombongan tak bertepi kita.Sombong tak menampakkan kita seorang yang baik dan bijak,tetapi menunjukkan warna sebenar dan kebodohan yang ada dalam diri kita.Kita terlalu sombong hingga memuji-muji diri sendiri,kitalah yang paling baik,kita yang patut dicontohi,memuji-muji diri sendiri.Kita yang sombong ini,dah menjadi haiwan.Malah meletakkan diri kita sama taraf dengan haiwan.Umpama merak yang megah akan bulunya yang cantik dihadapan haiwan-haiwan lain,tetapi tidak mahu mengakui bahawa dirinya tak mampu terbang.Adakah kita bersifat sedemikian?


Manusia itu....

Rasul diutus Tuhan sebagai simbolik dan penanda aras apa yang perlu seseorang itu capai untuk menjadi manusia terbaik.Memang benar Rasul itu maksum,tak bermakna mereka tidak melakukan kesilapan.Teladani hidup mereka.Sunnah mereka bukan hanya diikuti dalam cara berpakaian dan beribadat,namun juga akhlak yang mulia.Akhlak yang mulia adalah sifat manusia.Rasulullah adalah contoh terbaik dalam menjadi manusia.Baginda penyabar,rendah diri,pemurah,penyayang,waras dalam menilai,dan banyak lagi sifat baginda SAW yang boleh kita contohi.

Rasulullah sering dicaci dan dihina oleh orang yahudi,yang kaum musyrikin yang menentang dakwahnya.Baginda tidak pernah sekali-kali membalas dendam,malahan mendoakan agar suatu hari nanti mereka peroleh hidayah.Adakala bila Baginda sendiri yang membuat kesilapan,baginda dengan rendah hati mengakui kesalahan diri dan tidak pernah sekali-kali sombong akan kedudukannya disisi Tuhan.Ini lah sifat manusia.Manusia yang memiliki sifat yang sempurna,lembut dan beradab,bukan seperti binatang yang hanya terus menerkam jika tidak berpuas hati.


Mari menjadi MANUSIA.

Saya sendiri masih banyak kebinatangan dan kehaiwanan dalam diri saya.Saya nak mengajak semua dari kita,untuk kita sama-sama muhasabah akan sifat kita yang terlalu kurang manusianya.Menjadikan kita sangat lemah dan tidak lagi dihormati.jadilah kita manusia,yang menjadi hamba yang taat,yang menabur kasih dan sayang sesama kita,mengakui kelemahan dan kesilapan yang telah kita lakukan.Tiada ruginya kita menjadi manusia.



Maafkan kehaiwanan saya yang pernah menyakiti dan membuat anda tersinggung.Saya ingin menjadi manusia,dan saya ingin kita semua menjadi manusia bukan sekadar disisi makhluk,tetapi disisi Tuhan yang Maha penyayang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...